Pada kali ini marilah kita renungkan 6
soalan yang dibincangkan oleh Imam Ghazali dengan murid-muridnya.
Walaupun nampak mudah tetapi sebenarnya amat besar peranan dan kesan
dalam hidup kita di dunia apatah lagi sewaktu kita berjumpa Allah
nanti. Mari kita bincangkan dalam konteks kehidupan pada hari ini
semoga kita dapat manfaatnya.
Soalan-soalan tersebut ialah
1. Apakah benda yang paling dekat ?
2. Apakah benda yang paling jauh ?
3. Apakah perkara yang paling besar?
4. Apakah perkara yang paling berat?
5. Apakah benda yang paling ringan? dan
6. Apakah yang paling tajam?
Saya
percaya hampir semua orang Islam tahu menjawab soalan-soalan tersebut
tetapi apalah salahnya diulang semula kerana kita tidak dapat lari dari
penyakit lalai dan lupa, dan adakalanya kita tersilap memberi
keutamaan.
1.
Benda yang dekat ialah mati. Sesuai dengan umur dunia yang sudah
semakin tua, kita pun tidak tahu bila masanya kita akan mati. Mati
tidak sahaja menimpa orang yang sakit, tetapi juga mereka yang tidak
pernah sakit, baik tua baik muda baik kanak-kanak atau siapa sahaja.
Mati
di sini juga boleh membawa maksud sakit di mana kita tidak mampu buat
apa-apa lagi dalam menguruskan diri kita sama seperti orang yang telah
mati hanya berharap diuruskan oleh orang lain yang hidup dan sihat.
Oleh itu sebelum kita tidak dapat menguruskan diri baiklah kita bersiap
sedia apa-apa yang perlu.
Kita
perlu pastikan semua yang kita buat ada hubungkaitnya dengan beribadat
kepada Allah. Disamping menikmati hasil keduniaan kita juga akan
dapat ganjaran pahala sebagai bekalan yang kekal, Insyaallah.
Saidina
Umar Al-Khattab r.a. pernah mengingatkan kita , “ Hisablah (hitunglah)
diri kamu sebelum kamu dihisab(dihitung ) dihadapan Allah di akhirat
nanti.”
Mati
adalah satu perkara yang sangat menggerunkan dan untuk meringankan
azab sakratulmaut, disamping menunaikan ibadat-ibadat wajib,
banyakkanlah beristighfar, berzikir dan bertahmid memuji keagungan dan
kebesaran Allah, serta sentiasa meminta belas-ihsan panduan Allah
terhadap apa jua yang kita lakukan. Di samping itu banyakkanlah
berselawat atas Rasul Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.
mudah-mudahan dengan syafaat baginda kita diringankan bebanan terutama
di dalam kubur.
Sesungguhnya
Allah dan para malaikatnya sentiasa berselawat ke atas rasulnya, dan
dalam sebuah hadis ada diriwayatkan sabda Rasulullah bahawa setiap
selawat yang kita ucapkan ke atas rasul akan dibalas dengan 10 kali
selawat oleh Allah ke atas kita.
Rasulullah
pernah mengingatkan isterinya Saidatina Aishah r.a. dalam sebuah
hadis yang bermaksud “Jangan kamu tidur sebelum kamu melaksanakan
empat perkara, membaca Al-Quran sampai khatam (membaca surah Al-Ikhlas 3
kali), berselawat keatas Rasulmu, berdoa memohon keampunan untuk
seluruh umat Islam, dan beristigfar, berzikir, bertahmid memuji
kebesaran Allah Subhanahuwataala.”
Hadis
yang ringkas ini bukannya susah pun untuk dilaksanakan jika kita
jadikan amalan setiap malam sebelum tidur. Kalaulah terus tertidur tak
bangun-bangun keesokan paginya, Insyaallah mati kita adalah dalam
iman.
Kalau
mampu buatlah solat sunat taubat setiap malam sebelum tidur, meminta
keampunan atas segala kesalahan yang kita lakukan, dengan perasaan yang
amat benci terhadap kelakuan kita tesebut dan berazam untuk tidak
mengulanginya lagi.
2.
Benda yang paling jauh ialah masa yang telah lalu. Masa yang telah
lalu sudah menjadi sejarah dan tidak ada apa-apa yang kita ubah lagi.
Oleh itu dengan kesempatan yang masih ada lakukanlah sesuatu yang baik,
atau ubahlah sesuatu yang kurang baik kepada perkara yang lebih baik.
Contoh
paling nyata ialah sewaktu anak-anak masih kecil, asuhlah mereka
supaya hormati orang-orang tua. Atau pun jangan berhenti menyuruh
mereka solat bila sampai waktunya. Dengan sendirinya perkara-perkara
baik sebegini akan jadi tabiat yang berguna dan Insyaallah akan kekal
sehingga mereka meningkat dewasa.
Mungkin
ada anak-anak kita yang sedikit degil tetapi janganlah hendaknya kita
berputus asa. Anak-anak kecil belum tahu apa-apa, ibubapalah pembentuk
mereka.
Sedikit sahaja kelalaian dipihak kita kesannya cukup besar bila mereka dewasa nanti
Kalau
kita ada kuasa untuk mengubah sesuatu kepada yang lebih baik, maka
ubahlah sewaktu kita ada kuasa, jangan tunggu sehingga kuasa sudah
hilang baru kita teringat. Kadang-kadang kita tidak tahu kita ada
kuasa sehingga kuasa itu hilang dari genggaman kita.
3. Perkara dan musuh yang paling besar pula ialah nafsu ?
Rasulullah
pernah bersabda yang bermaksud, “Tidak beriman seseorang itu sehingga
dia boleh menjinakkan nafsu supaya mengikut kata imannya. “
Kehendak
nafsu sentiasa berlawanan dengan kehendak atau dorongan iman. Setiap
orang Islam mesti berusaha untuk mengawal nafsunya, baik nafsu makan,
nafsu syahwat, nafsu bekerja, nafsu berhibur, nafsu mencari harta,
nafsu berpakaian, nafsu berkata-kata, nafsu untuk berkuasa, nafsu
menghias rumah, nafsu suka dipuji, nafsu bermegah-megah dan sebagainya.
Antara
contoh-contoh bagaimana nafsu berusaha untuk mengawal dan mempengaruhi
kita ialah, bila terdengar azan untuk solat, nafsu akan memujuk,
biarlah ! lambat lagi, apa nak kejar, kalau kita hendak menolong
seseorang, nafsu akan mengatakan, buat apa nak tolong, ramai lagi orang
lain boleh menolong; nak bersedekah dengan wang yang sedikit sedang
itu sahaja yang kita mampu,
nafsu
akan mengatakan, sedikit boleh jadi apa, tunggulah lain kali sahaja,
tentu lebih banyak dapat disediakan, nak mula mendekati mesjid selalu,
nafsu akan memujuk dengan mengatakan apa nak susah, umur masih muda,
di rumah pun boleh solat, tua nanti buatlah lagi senang dah kurang
tanggungjawab kerana anak-anak dah besar dan macam-macam lagi. Sangat
ramai orang yang tewas kerana nafsu.
Dalam
bulan Ramadan ini berjayakah kita melawan nafsu makan, mampukah kita
mengurangkan belanja dapur berbanding dengan bulan-bulan sebelum ini ?
Nafsu
juga boleh menyebabkan kita jadi bakhil. Kita selalu keberatan untuk
berderma atau bersedekah sebab takut miskin sedangkan kaya miskin
adalah anugerah dan ketentuan Allah. Allah boleh bagi atau tarik balik
sebarang rezeki yang Dia bagi kepada kita..
4. Perkara yang paling berat adalah memegang amanah.Sejauh
mana kita menjalankan tanggungjawab kita memegang amanah. Adakalanya
tanggungjawab itu datang sendiri secara mengejut seperti bila ibu atau
bapa meninggal dunia, atau bila ketua pejabat bertukar sementara
datangnya pengganti. Adakalanya tanggungjawab datang kerana kita
memintanya melalui pertandingan atau pun ditawarkan.
Di mana sahaja setiap seorang dari kita mesti ada memikul amanah sekurang-kurangnya terhadap diri sendiri dan keluarga.
Seorang
majikan atau ketua tempat bekerja memikul amanah bagaimana menjaga
kebajikan dan pengurusan tempat kerja tersebut supaya teratur, tanpa
penyelewengan, sentiasa ceria dan berdaya maju.
Seorang
pemimpin negara atau parti atau persatuan mesti menjalankan
tanggungjawab dengan penuh amanah. Tidak boleh pecah amanah
menyalahgunakan apa-apa yang bukan hak kita untuk diri sendiri.
Khalifah Umar Abd Aziz r.a. menunjukkan contoh yang baik iaitu jika
urusan keluarga maka dia akan menggunakan lilin khas untuk urusan
keluarga dan bukan menggunakan lilin yang dikhaskan untuk urusan
negara.
Pecah
amanah juga boleh berlaku jika kita menyerahkan apa-apa jawatan kepada
orang yang kita sukai atau rapat dengan kita tetapi dia tidak layak
atau yang belum sampai masanya untuk memegang jawatan tersebut
sedangkan ada orang lain yang lebih layak kepada jawatan itu.
Kesan
pecah amanah amat besar bukan sahaja kepada individu tetapi mungkin
kepada anak-anak dan keluarga. Sekiranya melibatkan wang maka apa yang
pasti ialah makanan yang dibeli dengan wang haram itu seumpama
memasukkan api neraka ke dalam mulut kita dan anak-anak kita.
Pernah
kita mendengar orang-orang mengatakan, “Aku gunakan wang itu bukan
untuk makanan tetapi benda-benda lain yang tak akan jadi darah daging
aku dan keluarga aku” Betulkah ?
Jika
dengan wang haram itu dibelikan barang-barang keperluan, maka wang
asal yang disediakan untuk membeli barang-barang itu sudah bukan hak
kita lagi, sesungguhnya semua wang dari sumber tidak halal, akan tetap
haram.
Kita
janganlah lupa terhadap cerita bagaimana seorang pekerja yang baik
tetap disiksa Allah kerana mengambil sedikit sahaja carikan kayu dari
tempat kerjanya tanpa kebenaran tuannya untuk membersihkan giginya.
Sesungguhnya Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui apa yang kita
kerjakan.
“Dan
janganlah kamu makan iaitu mengambil harta (orang-orang lain) di
antara kamu dengan jalan yang salah , dan jangan pula kamu menghulurkan
harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan
(iaitu mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat)
dosa padahal kamu mengetahui (salahnya).
Al-Baqarah 188
Memang
amat berat kalau terpaksa memikul amanah sedangkan ramai dari kita
tidak mampu untuk memikulnya. Kalau boleh, elakkanlah secara sengaja
mencari sebarang beban sedangkan kita tahu kita adalah lemah dan
tidak mampu untuk melaksanakannya.
“
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara
zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut
mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang
menyala-nyala”
An-Nisaa 10
Sebagai
contoh; Sekiranya ada antara kita (sama ada lelaki atau perempuan)
yang diamanahkan menjaga harta peninggalan ibu bapa yang dulunya kita
jaga sewaktu adik-adik masih kecil, dan kini mereka telah dewasa, maka
pulangkanlah (serahkan) semula jika masih ada kepada adik-adik kerana
itu bukan hak kita lagi.
Janganlah
pula dijadikan hak kekal dan diberikan pula kepada anak-anak dengan
perasaan takut miskin kerana rezeki itu adalah hak Allah, kita hanya
pemegang amanah sahaja. Harta-harta rampasan seperti inilah yang akan
merenggangkan silaturrahim dan menyusutkan segala keberkatan amalan
yang kita lakukan.
Seiring
dengan ketibaan Hariraya tak lama lagi, para ustaz juga selalu
mengingatkan kita, janganlah pula kerana hendak menyambut Hari Raya
kita menambah hutang jika tidak perlu, atau menambah dosa dengan
menyalahgunakan harta atau apa-apa yang bukan hak kita walaupun
sementara dengan tujuan lepas raya dipulangkan atau bila ada wang akan
diganti semula.
Ingatlah
bagaimana cerita Saidina Umar Al-Khattab r.a. diperingatkan oleh
pegawai kewangannya supaya tidak menggunakan kemudahan perbendaharaan
Islam walaupun ketika itu khalifah dalam kesempitan. Sesungguhnya mati
itu sangat hampir dan kita semua tidak tahu setakat mana umur kita.Sama-samalah kita menjaga semua amanah sebaik mungkin, Insyaallah kita akan selamat.
5. Yang paling ringan ialah meninggalkan solat :“
Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan
atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya”
An-Nisaa’ 103
Sebagai
tanda beriman semua orang Islam mesti melaksanakan Rukun Islam yang
kedua iaitu sembahyang(solat) pada waktunya. Tidak ada alasan untuk
melambat atau meninggalkan solat..
Imam Ghazali mengatakan solatlah yang paling diambil mudah untuk ditinggalkan oleh orang Islam.
“
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan
mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali
kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan
yaqin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan
kembali kepadaNya “
Al-Baqarah 45-46
Terlalu
banyak alasan yang selalu digunakan oleh orang Islam yang tidak kuat
imannya, seperti pakaian kotor, (adakah pakaian kotor itu najis atau
tidak najis); masa masih ada lagi (yaqinkah selepas itu kita akan
kelapangan dan ada masa ); mesjid dan surau tak ada (solat itu di
masjid dan surau sajakah );telekung
tak bawa (wajibkah bertelukung, apa kah pakaian kita tidak menutup
aurat); sejadah tak ada (perlukah sejadah)?. Saya pernah melihat warga
kita di luar negara, tepi jalan, tepi perhentian bas, di stesen
keretapi, dalam supermarket pun (dalam tempat uji pakaian ) boleh
solat. Sesungguhnya bumi Allah ini luas dan bersih kecuali disempitkan
dan dikotorkan oleh manusia.
Meringankan
solat juga boleh bermaksud meringankan kesempurnaan solat seperti,
tidak berjemaah, kalau berjemaaah , saf tidak lurus, masuk saf lambat,
jemaah tidak rapat satu sama lain, tidak mahu berganjak kalau ada
lompang setelah ada makmum yang keluar saf, pentingkan diri dengan
mengejar kipas dan alat hawa dingin, bersuara kuat hingga ganggu orang
di sebelah, atau tidak berwuduk dengan sempurna, dan lain-lain lagi.
Rasulullah
mengingatkan kita bahawa amalan solatlah yang akan dinilai dahulu
sebelum Allah menilai ibadat yang lain, secara tidak langsung kalau
gagal penilaian solat, amalan yang lain akan sia-sia sahaja.
Orang
yang gagal dalam penilaian solat atau solatnya tidak diterima, atau
yang tidak bersolat, tempat mereka adalah dalam neraka Saqar. Penghuni
neraka Saqar dibakar sehingga hangus dan kemudian dipulihkan semula
kulit-kulit mereka dan dibakar semula, begitulah seterusnya dan mereka
kekal di dalamnya.
“Tentang (tempat tinggal) orang yang bersalah, “ Al-Muddaththir 41
Setelah
melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka (ahli syurga bertanya);
“Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka ) Saqar ? ”
Al-Muddaththir 42
“Orang-orang
yang bersalah itu menjawab; “Kami tidak termasuk dalam kumpulan
orang-orang yang mengerjakan sembahyang (solat); “
Al-Muddaththir 43
“Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;” Al-Muddaththir 44
“Dan
kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang
salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; “
Al-Muddaththir 45
“Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasnan” Al-Muddaththir 46
Marilah sama-sama kita terus berusaha memperbaiki solat kita kerana solat adalah tiang agama.
6. Yang paling tajam ialah lidah Tidak ada senjata yang paling tajam selain daripada lidah.
Lidah (keupayaan berkata-kata) perlu digunakan untuk kebaikan dan janganlah pula digunakan untuk keburukan.
Jika
percakapan yang disampaikan berupa provokasi atau pun fitnah,
pengajaran yang terpesong, atau arahan yang zalim dan kejam, kesan
atau akibatnya amat serius boleh mendatangkan kesan buruk satu atau
beberapa generasi yang tidak boleh diperbaiki lagi sampai bila-bila.
Memang mudah untuk memohon maaf atas sebarang ketelanjuran kata-kata,
tetapi bagaimana pula kesan emosi, atau kesan jangka panjang ke atas
individu, atau keluarga yang menjadi mangsa, sudah pasti amat sukar
untuk disembuhkan.
“ Fitnah itu lebih buruk(dahsyat) daripada membunuh”
Orang
Islam tidak akan lupa bagaimana rumahtangga Rasulullah bergoncang
akibat fitnah yang ditujukan ke atas Saidatina Aishah r.a. isteri
baginda sehingga Allah menurunkan wahyu menerangkan kebenaran dan
menjernihkan suasana.
Oleh
itu untuk tidak dimurkai Allah, dalam pergaulan sehari-hari, jangan
amalkan sifat munafik dan jauhkan diri dari mereka yang bersifat
demikian iaitu; kalau berjanji dia mungkir janji, kalau bercakap dia
dusta dan kalau diberi amanah dia akan pecah amanah.
Sebaliknya
lidah (yakni keupayaan berkata-kata) hendaklah digunakan untuk
menyampaikan ilmu yang berguna, memberi nasihat atau mengajar dan
membaca Al-Quran dan sebagainya. Ia bukan sahaja berfaedah untuk diri
penyampai, malahan akan memberi menfaat untuk masyarakat sampai
bila-bila. Sekiranya perkara baik tersebut disebarkan pula kepada orang
lain selepas itu, ganjarannya akan terus berterusan seperti
mengalirnya air sungai sama juga seperti ganjaran harta diinfakkan
untuk ke jalan Allah.
“
Dan bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat
keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang seluas langit dan bumi yang
disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”
(A-Li Imraan 133).
Sebaik-baiknya
marilah sama-sama kita meneruskan tugas Rasulullah menyeru kepada
berbuat kebaikan dan meninggalkan kejahatan, terutama kepada diri
sendiri, anak-anak, isteri dan kaum keluarga kita, sesungguhnya kita
hanya penyeru dan penyampai dan kita tiada daya untuk memberi hidayah
kerana ia hak Allah, sepertimana gagalnya seruan Nabi Ibrahin a.s.
kepada bapanya, Nabi Noh a.s kepad anaknya, Nabi Musa a.s. kepada
Firaun, Qarun dan Haman, Nabi Muhammad s.a.w kepada bapa saudara
baginda, dan sesungguhnya kita adalah dilarang berputus asa.
Mudah-mudahan
dengan usaha yang berterusan, kita dan orang-orang disekeliling kita
akan tetap dalam peliharaan Allah sampai bila-bila.
Disamping
itu semasa melakukan ibadat atau kerja-kerja kebajikan janganlah pula
lupa berdoa ke hadrat Allah s.w.t. agar kita sentiasa dipermudahkan dan
dilimpahi rahmat dan kurniaanNya.
“
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepada mu (Wahai Muhammad) mengenai
Aku, maka (beritahu kepada mereka ) sesungguhnya Aku (Allah)
sentiasa hampir ( kepada mereka ); Aku perkenankan permohonan orang
yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu, Maka mereka hendaklah menyahut
seruanKu (dengan mematuhi perintahKu);, dan hendaklah mereka beriman
kepadaKu supaya mereka menjadi baik dan betul “
Al-Baqarah 186
“Dan
Tuhan kamu berfirman” Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan
doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur
daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam
dalam keadaan hina” Al-Mukmin 60
“Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi
orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”
Al-Baqarah 222
“
Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bertakwa dan orang-orang
yang berusaha memperbaiki amalannya”
An-Nahl 128
Suka
juga diselitkan di sini janganlah kita celupar dalam berkata-kata
walaupun ia tidak menyakitkan hati sesiapa tetapi dibimbangi kalau
kata-kata tersebut akan menjadi seperti doa yang akan merugikan kita
seperti contohnya, pasangan pengantin baru berkata tidak mahu anak
dahulu, nak rehat dahulu, anak-anak menyusahkan atau sebagainya.
Jika
ia diucapkan sewaktu Allah mengkabulkan doa kan susah jadinya.
Ataupun mereka yang baru keluar pusat pengajian, tak mahu minta kerja
dulu, nak rehat dulu, sudah penat nak rehat seketika, nantilah dulu
atau apa-apa sahaja ucapan yang tidak sepatutnya diucapkan.
Sudah
banyak kali kita mendengar orang merungut dah puas berusaha tapi
masih susah dapat anak, susah dapat kerja dan sebagainya. Bagi mereka
yang terlibat, eloklah muhasabah diri kalau-kalau pernah tersasul kata
walaupun tanpa niat.
Jika
ada eloklah buat solat taubat banyak-banyak minta keampunan dan minta
dikasihani Allah. Ambillah peluang istimewa di bulan Ramadan yang amat
berkat, dan bulan yang dibuka pintu langit tanpa sebarang hijab ini,
semoga segala permohonan dimakbulkanNya, Insyaallah.. .
Dalam
sebuah hadis Rasulullah ada menyebut bahawa tiga kumpulan yang tidak
ragu-ragu akan dimakbulkan doanya ialah orang-orang yang dizalimi,
orang yang bermusafir dan doa ibubapa terhadap anak-anaknya.
Oleh
itu mulai sekarang marilah kita berazam untuk memperbaiki apa-apa
sahaja kelemahan yang ada, memperbaiki kesempurnaan semua ibadat kita,
tuturkata dan tingkahlaku dan berusaha menyumbangkan apa-apa sahaja
yang kita terdaya demi agama Islam yang kita kasihi, mudah-mudahan nama
kita akan diseru oleh semua malaikat yang menjaga semua pintu-pintu
syurga di hari pembalasan nanti, Amin...
No comments:
Post a Comment