MUTIARA HADITH
Kategori : IBADAH Akidah
Tajuk : Bersabar Dalam Berdoa
Hadith :
Dari
Abu Hurairah r.a bahawa nabi SAW telah bersabda:”Allah sentiasa
memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi
(perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturrahim dan selama tidak
meminta supaya cepat-cepat diperkenankan.” Lalu baginda ditanya oleh
seseorang:”Apa maksudnya meminta dicepatkan?”Jawab baginda:”Umpamanya
seseorang itu berkata dalam doanya:”Aku telah berdoa, aku telah berdoa
tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku putus asa dan
berhenti berdoa.”
(Hadith Riwayat Muslim)
Huraian :
1. Betulkah
setiap doa akan dikabulkan oleh Allah ? Mungkin ada antara kita yang
telah berdoa sesuatu namun tidak merasakan keberhasilannya. Selaku
hamba, kita harus menyedari bahawa kita tidak berhak memaksa Allah
kerana kitalah yang berhajatkan sesuatu bukan sebaliknya.
2. Sesungguhnya
Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita atau mungkin Allah
mempunyai ketentuan lain yang tidak kita ketahui. Mungkin juga doa kita
bukan tidak dikabulkan tetapi ditunda waktunya atau diganti dengan yang
lebih baik.
3. Nabi
Zakaria a.s adalah contoh manusia yang sangat kuat nilai kesabarannya.
Baginda telah puluhan tahun berdoa agar dikurniakan zuriat namun belum
dikabulkan Allah. Antara isi doa baginda ialah: “Ya Tuhanku,
sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan
aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku.
(Maryam:4) sehingga pada akhirnya Allah SWT memakbulkan permintaan
baginda dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya. Begitulah
sikap yang seharusnya kita contohi iaitu jangan sekali-kali kecewa
dalam berdoa.
Semoga perkongsian ini akan dihitung sebagai ilmu yang bermanfaat dan membantu di alam yang kekal abadi nanti. Aamiiiin...
Terima kasih. Wassalam.
No comments:
Post a Comment