Kalau dilihat pada nilaian dunia,
barang-barang berharga seperti intan dan berlian dibungkus rapi dan
disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga wanita.
Kerana wanita bermaruahlah dia tidak disuruh ditonjolkan tanpa keperluan
yang tertantu; dengan batas-batas tertentu. Dia mesti bergelanggang
dalam gelanggang yang boleh dan sesuai untuknya sahaja yang telah
ditentukan garis-garisnya oleh syariat. Wanita tidak selayaknya
mengorbankan maruah dandirinya semata-mata mengejar pangkat, darjat,
nama, harta dan kemewahan dunia.
Menyentuh berkenaan pakaian wanita,
alhamdulillah sekarang telah ramai wanita menjaga auratnya,
sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dan di sana sini kita dapat
saksikan para wanita kita memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat
sudah melanda dari orang bawah hingga orang atasan, dari peringkat
pelajar-pelajar sekolah hinggalah ke pekerja-pekerjadi pejabat-pejabat.
Namun begitu, pelbagai gaya tudung
dipakai. Tudung kadangkala tidak lengkap dipakai, pakai tudung tapi
masih nampak batang leher, nampak dada, pakai tudung tetapi di masa yang
sama pakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.
Pelbagai warna dan pelbagai gaya tudung dipakai. Pelbagai warna dan
pelbagai fesyen tudung direka untuk wanita-wanita Islam kini.
Ada rekaan tudung yang dipakai dengan
songkok didalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik.
Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya
lagi yang dipaparkan dalam majalah dan surat khabar fesyen untuk tudung.
Rekaan itu semua bukannya untuk mengelakkan fitnah tetapi menambahkan
fitnah ke atas wanita.
Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang
wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya malah sekaligus
menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang
tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang
manaakan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Dan
pakaian yang boleh melindungi wanita dari jadi bahan gangguan lelaki
yang tidak bertanggungjawab.
Bila wanita bertudung tetapi masih
berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun
bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri.
Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang
paling cantik,up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas.Bertudung
tapi masih ingin bergaya.
Kesimpulannya, tudung yang kita pakai
tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak rasa diri ini hina, masih
banyak dosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa
bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang
kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan
berbangga bila boleh pakai tudung?
Ada orang bertudung tetapi lalai atau
tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung yang masih cari boy
friend. Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas.
Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan
muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang
bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.
Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh
orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak
orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang
mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama
sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa
lebih bebas lagi.
Orang-orang bukan Islam pula tawar hati
untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan
hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung,perangai mereka sama sahaja dengan
orang-orang bukan Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam
dengan agama mereka.
Lihatlah betapa besarnya peranan tudung
untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen
bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti
pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.
Kalau kita tutup aurat tetapi tidak
terus memperbaiki diri lahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah
punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain.
Islam itu bermula dari diri kita sendiri.
Ini tidak bermakna kalau akhlak belum
boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi
baikilah diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam
(hati). Buang perangai suka mengumpat, suka berdengki, suka berbangga,
ego, riak dan lain-lain penyakit hati.
Kalau sudah mula menutup aurat
elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak
ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan.
Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan boy friend. Serahkan pada
Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing.
Yakinlah pada pengaturan Allah.
Apabila sudah menutup aurat, cuba kita
tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama
bila dalam waktu bekerja. Cuba didik diri jadi orang lemah-lembut. Buang
sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap
suka mengumpat, suka mengkeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib
sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam.
Barulah nampak Islam ini indah dan cantik kerana indah dan cantiknya
akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.
Barulah orang terpikat untuk amalkan
Islam. Baru orang bukan Islam hormat dan mengakui “Islam is really
beautiful.” Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya.
Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekelian, anda mesti mengorak langkah
sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.
aku copy dari : sini
No comments:
Post a Comment