Assalammualaikum.. rasa tersentuh mendengar khutbah Jumaat LIVE dari Masjid Negara yang disiarkan di TV1 tengahari tadi. Rasa bersyukur pulak diberi kesempatan dan masa untuk pulang ke rumah sementara menunggu masuk semula ke ofis pada jam 2.45 ptg. Seolah-olah terselit message dr Allah pada saya tentang pendidkan kanak-kanak... kat sini saya copy dari link e-khutbah yang diselenggara oleh JAKIM. Semoga kita sama-sama di bawah lindungan dan jalan yang diredhai Allah dalam mendidik amanah dan anugerah Illahi ini... insya'Allah.
sejenak perkongsian dari Mimbar Masjid:
Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia
“ANUGERAH
ILAHI”
(19 OKTOBER 2012 / 3 ZULHIJJAH 1433H)
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat yang mulia
ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat sekalian marilah
sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan
bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala
larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi
keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “ANUGERAH ILAHI ”.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Berdasarkan
kepada laporan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, bahawa pada
ketika ini di anggarkan 9.8 juta (36%) penduduk negara kita terdiri daripada
golongan kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun. Golongan ini merupakan
anugerah dan nikmat yang terbesar daripada Allah SWT dan merupakan aset pembangunan negara pada
masa depan. Bagi pasangan ibubapa ini akan menjadi saham dan membawa keuntungan
yang berlipat kali ganda sekiranya mereka di didik dan dibentuk dengan baik
serta menjadi anak yang soleh. Sebaliknya, jika diabaikan dari segi didikan,
tidak mustahil akan menjadi anak yang derhaka, terbiar dan pada masa akan
datang akan menjadi sampah kepada masyarakat dan negara. Justeru memiliki anak
yang soleh serta baik budi pekertinya menjadi impian setiap ibubapa dan
keluarga sebagaimana kisah Nabi Zakaria AS yang memohon dengan berdoa kepada
Allah SWT agar di kurniakan anak-anak yang soleh. Firman Allah SWT dalam surah
Ali-Imran ayat 38:
Bermaksud: “Ketika
itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah
kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa
Mendengar (menerima) doa permohonan”.
Anak-anak sebenarnya
dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi
bersih dari sebarang kekotoran samada zahir ataupun batin, maka menjadi
tanggungjawab ibubapa untuk mencorakkan samada untuk membentuknya menjadi insan
berjaya ataupun tidak. Anak yang soleh akan memberi manafaat yang amat besar
kepada kedua ibubapa. Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud:“Apabila
mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga
perkara: sedakah jariah, ilmu yang bermanafaat dan anak yang soleh yang
mendoakan.” (Riwayat Imam Muslim)
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Dalam membina potensi anak anak, maka pendidikan
kepada mereka hendaklah dimulakan sejak awal lagi, kerana pada usia itu segala
nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam hati sanubari mereka. Ibnu Sina
pernah berpesan, katanya: “ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka
ajarkanlah ia adab-adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai-nilai yang buruk ”.
Rasulullah SAW telah menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak-anak
iaitu: Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam
tahun) hendakkah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih
sayang sebagaimana haiwan menjaga anak. Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun) hendaklah
kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab kepada
mereka. Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun)
hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat
mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat. Tahap Keempat:
Anak berumur lebih 21 tahun, hendaklah diberikan kebebasan bertindak selagi
tidak bertentangan dengan syariat. Ibu-bapa hanya perlu bertindak sebagai
penasihat agar segala tindakkan mereka terkawal.
Ibnu Khaldun
telah membahagikan tujuan pendidikan kepada tiga bentuk pendidikan: Pertama:
Mempersiapkan seorang anak dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar
agama menurut al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ini akan membina akidahnya
dan membentuk peribadi yang beriman. Kedua: Mempersiapkannya dari
segi akhlak, dan Ketiga: Mempersiapkannya dari segi pemikiran,
ini termasuk ilmu-ilmu umum duniawi, kerana dengan memiliki pemikiran dan ilmu
yang baik dan tepat seseorang itu akan mampu berdikari dan memiliki ketrampilan
untuk melaksanakan tugas dengan baik.
Anak-anak
hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana
reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan.
Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan
bosan. Berilah nasihat dan teguran kepada mereka dalam hal akidah, ibadah,
akhlak, tanggungjawab, kesihatan, suci hati dan erti kesusahan. Kaedah ini
sangat penting dan ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan. Ini kerana
nasihat dan teguran tidak boleh dibuat setiap hari atau setiap masa kerana
anak-anak akan mudah merasa jemu dan bosan. Contohilah apa yang dilakukan oleh
Lukman al-Hakim di dalam mendidik anak-anaknya. Firman Allah SWT dalam surah
Lukman ayat 13:
Bermaksud: “Dan tatkala Luqman berkata kepada
anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku, janganlah engkau
mempersekutukan Allah sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman
yang besar”.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Sebagai ibu-bapa kita tidak boleh
mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah
menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila mereka telah dihantar ke
sekolah. Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan
hidup selesa pada masa akan datang. Tanggungjawab kita juga memastikan agar
mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat. Dari itu amat
penting pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia. Kerana dengan pendidkan
agama, prinsip iman mereka akan teguh. Ini akan membantu mereka menghadapi
masalah-masalah sosial serta membantu mereka menghadapi cabaran masa akan
datang. Tanpa prinsip ini ditakuti anak-anak kita akan mudah terpengaruh dengan
pelbagai pemikiran. Sehinggakan ada sebahagian dari mereka sanggup mengadai
prinsip kehidupan mereka.
Mimbar ingin
mengingatkan sidang jemaah dan umat Islam sekalian bahawa kegelojohan nafsu
syahwat diperingkat remaja sangat kuat. Jika punca dan tempat yang menaikkan
nafsu tidak ditutup dan kelemahan iman serta kedangkalan akal menjadi sifat
mereka, maka selagi itulah anak-anak kita terdedah kepada gejala keruntuhan
akhlak dan menghancurkan kehidupan. Kehendak nafsu yang berunsur syahwat
sentiasa mencabar setiap peringkat kehidupan, ia boleh menjejaskaan kualiti
akhlak manusia setaraf dengan binatang. Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW telah mengingatkan sabdanya,
Mafhumnya: “ Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara
lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum
miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati”(Riwayat
: al-Hakim dan Ibnu Majah).
Ingatlah bahawa
memelihara anggota keluarga dari ancaman neraka tidak bererti kita hanya
bersikap pasif dengan hanya mencegah mereka daripada berbagai perbuatan
maksiat. Tetapi kita juga mesti bersikap aktif dalam mendidik dan menerapkan
nilai-nilai murni dalam diri mereka agar pembentukan ini berperanan sebagai
kubu dan daya tahan yang dapat menepis dan menapis pengaruh persekitaran yang
penuh mencabar. Ingatlah pepatah orang melayu ’ ampuh bak ikan di laut
walaupun sepanjang hayat badannya tetap tidak masin’. Peranan ibu-bapa
bukan sahaja menjadi “Tuan” di rumah, tetapi mereka
adalah pengurus, pembimbing dan pengasuh. Tanggungjawab ibu-bapa bukan hanya
memberi arahan, tetapi perlu menonton, membimbing, mengasuh dan menunjukkan
contoh yang baik untuk diteladani.Barulah pendidikan kita akan memberikan kesan
untuk mencapai matlamat pembentukan nilai murni serta prinsip yang kukuh dalam
diri anak-anak.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, Bersempena dengan Sambutan Hari
kanak kanak Sedunia pada hari ini, yang bertemakan: KARISMA KANAK-KANAK; SERLAHKAN POTENSI DIRIMU, maka mimbar menyeru marilah kita
bersama-sama menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah SWT
kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka dapat
berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada
perjuangan Islam yang di dokongi oleh ibu bapa. Isilah masa kehidupan mereka
dengan perkara-perkara yang boleh memberi manafaat kepada diri mereka. Ingatlah
wahai muslimin sekalian bahawa anugerah ilahi ini merupakan sebahagian daripada
amanah daripada Allah SWT yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Marilah
sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah
al-Ahzab ayat 72:
Bermaksud: “ Sesungguhnya Kami
telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka
enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia
sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.”