Tengahari ini semasa waktu rehat di dalam bilik saya sambil menjamu bekalan yang dibawa.... saya mendengar radio IKIM.FM yang ketika itu sedang melagukan surah Maryam.
Ustaz itu membaca sambil menangis di beberapa ayat yang menyentuh hati saya ketika itu.... "Betapa indahnya dan beruntungnya mereka yang mempelajari Bahasa Arab; Bahasa Al Quran".... apa yang tersimpan dan istimewanya di dalam Surah Maryam?
Sudah menjadi lumrah alam, manusia mudah terkesan dengan
perkara-perkara ajaib. Kalau mereka lihat benda-benda yang pelik, mereka
mulalah terkesan dan mula fikir macam-macam. Kadang-kadang oleh kerana
terkesan, mereka memuja makhluk-makhluk yang nampak macam ada kuasa
ghaib. Seperti wali-wali dan malaikat-malaikat. Termasuk juga kalau
mereka lihat benda-benda yang pelik seperti busut besar, pokok yang
pelik rupanya dan sebagainya. Ada yang mereka jadikan sebagai tempat
minta nombor ekor lah, minta tolong di situ lah dan sebagainya lagi. Itu
tidak boleh kerana mereka juga adalah makhluk, bukan Tuhan. Mereka juga
bukan perantaraan bagi Tuhan. Sebab ada juga yang bagi hujah, mereka
bukan minta kepada entiti-entiti itu, tapi mereka minta kepada Allah,
tapi melalui benda-benda itu atau makhluk-makhluk itu. Ini adalah
perkara tauhid, jadi kena faham betul-betul. Selepas ini, hanya minta
kepada Allah sahaja secara terus sahaja. Jangan nak guna
perantaraan-perantaraan lagi dah.
Salah satu perkara ajaib yang Allah ceritakan dalam Quran adalah
tentang kisah Nabi Zakaria. Surah ini ada menceritakan tentang
kekeliruan manusia tentang Nabi Zakaria. Agama sebelum Islam datang ada
mengatakan Nabi Zakaria boleh ikhtiar untuk dapat anak, padahal Nabi
Zakaria dapat anak kerana doa baginda kepada Allah. Bukannya kerana
baginda ada kuasa lain dari manusia lain yang boleh menyebabkan baginda
dapat anak. Kita akan belajar tentang bagaimana cara Nabi Zakaria berdoa
kepada dalam surah ini nanti. Dan doa itu adalah sebagai satu tips
kepada kita untuk berdoa kepada Allah.
Ramai dari kita berusaha untuk dapatkan anak. Ada yang senang dapat
anak dan ada yang dah bertahun-tahun kahwin, masih tidak dikurniakan
anak oleh Allah. Ada pula yang kata untuk dapat anak, kena baca surah
Maryam. Padahal, Maryam tidak berdoa untuk dapat anak pun – anak itu
diberi oleh Allah. Itu adalah satu kekeliruan dalam masyarakat kita dan
yang sedihnya, ianya diajar oleh guru-guru agama di Malaysia. Mereka
mengajar manusia yang jahil untuk hanya menjadikan ayat-ayat Quran
sebagai ‘azimat’ sahaja. Baca berkali-kali tanpa memahami apakah maksud
dan pengajaran dalamnya. Kalau kita setakat membaca sahaja, kita tidak
ada bezanya dengan Kaum Yahudi yang kita pun tahu mereka sesat. Mereka
itu membaca dan menghafal kitab Taurat, tapi mereka tidak mengambil
pengajaran dari kitab Taurat itu. Sama sahaja dengan kebanyakan
masyarakat kita. Ramai orang Islam dalam masyarakat kita yang baca Quran
hari-hari pun, hafal pun ada, tapi mereka tak faham apa yang mereka
baca itu. Yang sebenarnya, dalam surah Maryam ini ada doa Nabi Zakaria
untuk mendapatkan anak. Ianya adalah kisah tentang Nabi Zakaria tapi
diletakkan dalam surah Maryam.
Surah ini diturunkan hampir dengan masa sebelum Hijrah pertama yang
dijalankan ke Habsyah. Dari sirah, kita dapat tahu bahawa pada tahun 4
kenabian, Nabi telah diarahkan untuk berdakwah secara terbuka. Apabila
Nabi berdakwah secara terbuka, musyrikun Mekah tidak suka, maka para
sahabat yang telah masuk Islam telah ditindas dengan teruk sekali.
Orang-orang Muslim waktu itu adalah terdiri dari orang-orang yang lemah
dan kelas bawahan pada mata orang kafir. Mereka tidak ada perlindungan
seperti orang-orang yang lain. Dalam adat waktu itu, selalunya
perlindungan diberikan oleh kabilah masing-masing tapi mereka adalah
orang yang miskin dan lemah. Mereka tidak ada ‘payung’ yang dapat
menyelamatkan mereka. Mereka terasa amat tertekan dengan penindasan yang
mereka terima. Mereka tidak tahan sampaikan mereka datang bertemu
dengan Nabi menceritakan keadaan mereka. Mereka mengadu tentang
penindasan yang mereka terima. Pada mulanya, Nabi menyuruh mereka
bersabar dengan nasib mereka kerana umat yang terdahulu ada yang lagi
teruk terima azab dari orang kafir.
Kemudian Nabi telah mendapat wahyu untuk menyuruh mereka untuk
berhijrah ke Habshah. Kerana raja Habasyah waktu itu adalah raja yang
adil. Raja itu adalah raja yang beragama Kristian yang alim. Dalam
riwayat, ada yang mengatakan bahawa yang pergi berhijrah itu adalah
seramai 8 orang lelaki dan 3 orang perempuan. Apabila Musyrikin Mekah
mendapat tahu tentang penghijrahan itu, mereka tidak puas hati dan
mereka telah cuba untuk kejar orang Islam itu tapi tak dapat. Walaupun
begitu, mereka telah menghantar satu delegasi untuk pergi ke Habsyah.
Tujuan delegasi itu adalah untuk membawa kembali mereka yang telah pergi
ke Habsyah itu.
Delegasi itu diketuai oleh Amru al As. Waktu itu Amru al As belum
lagi masuk Islam. Mereka akhirnya telah berjaya untuk bertemu dengan
raja selepas mereka berbaik-baik dengan para pendita di Habsyah dengan
memberi hadiah. Mereka mengatakan bahawa orang Islam yang sedang
bermastautin di Habsyah itu adalah pelarian dari Mekah dan mereka mahu
supaya mereka itu dikembalikan. Raja kata beliau tidak boleh beri mereka
yang mencari perlindungan kepada orang Mekah begitu sahaja. Maka, Raja
telah bertanya kepada orang Islam tentang keadaan sebenarnya. Dan para
sahabat telah menjelaskan bahawa mereka itu mencari perlindungan di
Habsyah dan mereka hanya mahu mengamalkan ugama mereka dengan aman.
Maka, Raja telah mengambil keputusan untuk tidak membenarkan mereka
dipulangkan. Tapi delegasi Mekah telah pergi berjumpa dengan Raja sekali
lagi pada esoknya dan mereka mengatakan bahawa mereka yang lari itu
telah meninggalkan agama asal mereka. Dan mereka sedang mengamalkan
agama yang baru yang sesat, kata delegasi itu. Mereka juga menentang
agama yang lain dari mereka, sambungnya lagi. Dan mungkin mereka pun
tidak menerima ajaran Kristian dan mengata tidak baik tentang Nabi Isa.
Mereka telah cuba meracuni Raja Habsyah. Raja terasa sedikit kerana dia
adalah orang Kristian yang taat. Maka Raja telah memanggil orang Islam
dan bertanyakan mereka tentang pegangan mereka tentang Nabi Isa. Jaafar
Abu Talib sebagai ketua orang Islam waktu itu telah menjawap bagi pihak
sahabat yang lain. Mereka telah bermesyuarat sebelum itu dan mereka
sepakat bahawa jikalau Raja bertanyakan tentang Nabi Isa, mereka akan
bercakap dengan benar dan tidak akan menyembunyikan apa-apa.
Maka Jaafar mula membacakan surah Maryam. Selepas beberapa ayat, Raja
suruh mereka berhenti membaca kerana dia tidak tahan kerana terkesan
dengan apa yang disebut dalam Quran dan beliau menangis dan mengatakan
ianya adalah cerita yang menyayatkan hati dan benar belaka. Maka raja
telah menyuruh musyrikin Mekah pulang dan membenarkan orang Islam
tinggal di Habsyah.
Kejadian itu berlaku dalam lebih kurang tahun kelima Kenabian. Maka
surah Maryam mungkin diturunkan pada hujung tahun keempat Kenabian.
Surah ini diberikan sebagai ‘buah tangan’ kepada mereka yang akan
berhijrah ke Habsyah kerana mereka akan berhadapan dengan orang
Kristian. Allah menurunkan surah ini pada masa yang diperlukan oleh
mereka untuk mereka berhadapan dengan orang Kristian.
Surah ini adalah kesinambungan dari surah sebelum ini, Surah Kahf,
yang sudah menyentuh tentang salahfaham Kristian. Maka, surah Maryam ini
menceritakan dengan lebih panjang lagi tentang salah faham mereka.
Salah faham mereka adalah kedudukan Nabi Isa yang mereka anggap sebagai
anak Tuhan.
Surah ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.
1. Tentang Nabi Zakaria dan kelahiran anaknya Nabi Yahya.
Umur Nabi
Zakaria dan isterinya sudah sangat tua waktu itu. Isterinya pula tidak
pernah melahirkan anak. Maka kelahiran Yahya adalah kelahiran yang
ajaib.
Kemudian disambung dengan kelahiran Nabi Isa pula yang juga ajaib.
2. Tentang Nabi Ibrahim dan Nabi-Nabi yang lain.
Permulaan surah
adalah untuk menghadapi orang Kristian dan akhirnya menghadapi orang
musyrik. Walaupun mereka musyrik, mereka masih memandang tinggi kepada
Nabi Ibrahim. Begitu juga, orang Kristian menghormati Nabi Ibrahim
kerana baginda adalah salah seorang dari Nabi mereka. Maka kisah Nabi
Ibrahim diletakkan di tengah-tengah.
Kisah Nabi-nabi lain itu dimasukkan untuk menunjukkan bahawa apa yang
Nabi Muhammad bawa bukanlah perkara baru sangat. Ianya memang telah ada
dibawa oleh Nabi-nabi yang lain.
3. Tentang musyrikin Mekah.
Surah ini juga menceritakan tentang kepentingan menyampaikan ajaran
agama kepada anak-anak kita. Ini untuk memastikan agama itu berterusan.
Dan kita memang mahukan kebaikan kepada anak-anak kita. Jangan hanya
fikirkan tentang kelangsungan hidup keduniaan mereka sahaja. Banyak
diceritakan tentang perkara ini dalam kisah-kisah yang akan disampaikan.
Dalam kisah Nabi Zakaria dan Yahya, Maryam dan Isa dan juga Nabi
Ibrahim.
Kita dalam dunia sekarang menghadapi masalah penjagaan anak. Kita
bising tentang akhlak dan pengetahuan agama anak-anak sekarang. Tapi
kenapa jadi begitu? Kerana ibubapa tidak mengajar agama kepada anaknya.
Mereka sendiri tidak tahu agama. Maka bagaimana mereka hendak mengajar
keluarga mereka?
Surah ini juga menempelak mereka yang menjadikan kejadian Nabi Isa
itu berlebihan sampai menaikkan taraf baginda terlalu tinggi melebihi
taraf manusia.
Dari kisah Nabi Ibrahim, diberikan contoh bagaimana seorang anak itu
kadang-kadang lebih beragama dan lebih berpengetahuan dari bapanya.
Surah ini juga memujuk para sahabat yang sedang ditindas. Mereka
diberikan dengan janji bahawa mereka akan mendapat kebaikan yang
berkekalan.
No comments:
Post a Comment