Tuesday, March 19, 2013

Dilema Menghantui Ibu Bapa Dalam Berhadapan Dengan Anak Usia 0 - 6 Tahun

Mengawal Kemarahan Terhadap Anak Kecil

Anak adalah anugerah daripada Allah buat setiap ibubapa. Setiap apa pendidikan yang kita berikan kepada anak kita, itulah cerminan buat diri kita.
Kanak-kanak dalam lingkungan umur 2-6 tahun (prasekolah memang sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa sahaja yang dilihat dan mereka juga didapati ‘tidak dengar kata’. Apa yang berlaku ialah ketiadaan komunikasi dua hala di antara ibu bapa dan anak.

Di samping itu kanak-kanak sebenarnya tidak dapat mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan perhatian kepada suara ibu bapa. Sebaliknya perhatian mereka hanya tertumpu kepada permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.

Kanak-kanak mempunyai komunikasi verbal yang sangat terhad disebabkan mereka tidak mempunyai pengetahuan (input) tentangnya. Mereka juga baru sahaja belajar bercakap, oleh itu ibu bapa kerapkali tidak dapat memahami apakah sebenarnya yang dimahukan oleh anak.

Maka jadilah anak tersebut menjerit, membaling barang, memusnahkan permainan dan sebagainya lantaran kekecewaan kerana hajatnya tidak difahami dan dipenuhi. Kanak-kanak pun tahu kecewa sebenarnya ibu bapa sekalian. Justeru itu siapakah yang bersalah? Sudah tentulah orang dewasa kerana tidak berusaha untuk memahami kehendak si anak.

Ada beberapa tips yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa bagi berusaha mengatasi masalah ini :

Peluklah anak sekerap mungkin 

1. Kanak-kanak sangat memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian dari kedua ibu bapa. Sekiranya bapa jarang mendampingi anak, sudah tentulah anak akan mengalihkan perhatian kepada ibunya.

Oleh itu cuba fahami bahasa anak dengan bertanya secara lemah lembut kepadanya. Tinggalkan sebentar apa yang anda lakukan dan berikan perhatian kepada anak. Pandang mukanya dan tatap matanya. Berapa kalikah dalam sehari kita bertentang mata dengan anak ? Eye contact sangat penting di dalam apa-apa jenis komunikasi walaupun dengan anak kecil.

2. Sebaik sahaja anda pulang dari bekerja dan mengambil anak dari taska, luangkan masa setengah jam terlebih dahulu bersama anak. Jangan terus ke dapur memasak, angkat kain dan sebagainya. Berikan perhatian pertama anda  kepada anak. Tanyakan dengan lembut dan mesra apa yang dibuatnya seharian di rumah bersama bibik atau di taska/tadika. Dukung dan peluklah dia serta nyatakan di telinganya, papa/mama sangat sayangkan abang. Bermain-main dengannya lebih kurang setengah jam, barulah puan minta diri untuk ke dapur dan sebagainya. Insya Allah anak akan lebih mendengar kata kerana perhatian yang diharapkannya telah diperolehi.

3. Ajarkan anak dengan perkataan “tunggu sebentar boleh” sekiranya anak perlukan sesuatu dan kita tidak dapat berikannya kerana sedang sibuk memasak contohnya. Layanilah dia sebaik sahaja ada kesempatan.

Jangan buat tak tahu sahaja atau bersikap acuh tidak acuh kerana sebenarnya kita sedang mengajar anak agar tidak menghiraukan kita sekiranya kita pula yang memanggilnya.

The right way to make her listen to you is by listening to her first. Kita tidak boleh harapkan anak patuh setiap arahan kita kerana Allah tidak menjadikan ia berlaku demikian. Ingatlah anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita. Buktinya boleh dilihat apabila dia melayani adiknya pula.

Kenali personaliti anak anda 

4. Cuba fahami personaliti anak. Setiap anak dikurniakan oleh Allah dengan personalitinya yang tersendiri. Anak yang suka menjerit walaupun tidak mempunyai apa-apa sebab boleh dikategorikan sebagai personaliti Sanguine.

Anak ini memang sangat sukakan perhatian. Oleh itu jika anak ini menjerit, berilah perhatian kepadanya seperti memandang ke arahnya, bertepuk tangan sekiranya dia menyanyi dengan kuat dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, kita boleh mengajarkan kepadanya bahawa perbuatan suka menjerit adalah tidak bagus kerana boleh mengganggu adik kecil yang sedang tidur.Sekiranya anak suka menjerit, kita boleh suruh dia mengadap dinding yang kosong dan menjerit di situ berulangkali sehingga dia letih.

Insya Allah dia akan kurang suka kepada menjerit kerana mendapati aktiviti tersebut memenatkan. Mungkin dia akan berhenti menjerit atau membuat perangai lain beberapa hari. Sekiranya dia mengulanginya semula, kita suruh dia lakukan perkara yang sama sehinggalah dia berhenti sendiri lama kelamaan.

Berikan dia hadiah (gula-gula misalanya) jika kita dapati dia tidak menjerit atau semakin kurang menjerit dalam satu hari sebagai positive reinforcement. Katakan padanya, papa atau mama beri hadiah coklat kerana kakak tidak menjerit hari ini. Dengan ini anak akan faham bahawa papa atau mama tidak menyukai perbuatan tersebut.

5. Sentiasa ingatkan diri kita dengan sifat positif anak. Keletah dan karenah anak yang menghiburkan hati. Tumpukan perhatian kita terhadap kelebihan tersebut, jangan ingat kekurangan anak dan doakan setiap kali selesai solat agar Allah memudahkan kita mengubah sifat negatifnya.

Bayangkan anak dengan semua sifat-sifat positif yang kita inginkan setiap kali kita berinteraksi dengan anak. Boleh juga tukita berbuat demikian setengah jam setelah anak sudah masuk tidur dan nyenyak tidurnya. Usapkan dengan lembut di ubun-ubun kepalanya, cium dan bacakan selawat serta sebutkan harapan kita kepadanya

Misalnya ‘papa dan mama sayang kakak, papa dan mama mahu kakak tidak menjerit lagi’. Sebutkan perkara spesifik yang kita mahukan. Jangan hanya menyebut ‘papa dan mama harap kakak berubah’ atau menyebut dengan nada negatif seperti ‘papa dan mama tak suka kakak menjerit’. Teknik ini dipanggil imagery atau visualization dan didapati sangat berkesan jika dilakukan berulangkali.

berdoalah agar anak kita menjadi anak yang soleh 

Ibubapa sekalian juga boleh membacakan surah AlFatihah, Ayat Kursi dan 3 Kul kepada anak setiap kali mereka masuk tidur untuk memelihara dari gangguan syaitan. Sebagai ingatan, sesungguhnya mendidik anak tidak mudah apatah lagi di zaman globalisasi yang serba mencabar.

Semoga semua ibu bapa lebih bersabar, jangan ignore anak dan cubalah memahaminya. Fahami dunia anak yang tiada masalah, penuh keseronokan dan penerokaan. Bayangkan perasaan anak apabila dimarahi sedangkan apa yang cuba dibuatnya hanyalah meneroka alam sekeliling.

Anak-anak hidup dalam dunia yang tiada peraturan. Ibubapalah yang membuat peraturan, disiplin dan juga galakan kepada anak. Belilah buku-buku tentang panduan mendidik anak, mengenali personaliti anak dan cara-cara menghadapinya.

Sekian, semoga Allah mengurniakan rahmat dan kebijaksanaan kepada ibu bapa. Jangan berputus asa dengan anak kerana ia akan membuatkan anak berputus asa terhadap kita sebagai ibubapanya.

No comments: