Tuesday, March 19, 2013

Elakkan MenSABOTAJ Anak



 Jangan Sabotaj Anak Sendiri




Walaupun penyataan topik ini agak tidak relevan difikirkan tetapi hakikatnya itulah yang sering berlaku di kalangan ibubapa secara tidak sedar.

Apa yang dimaksudkan sabotaj ?
Ianya adalah perbuatan untuk merosakkan, menganggu dan mengkhianati sebarang peralatan mahupun orang perseorangan.

Mana mungkin seorang ibu yang kasihkan anaknya sanggup mensabotaj atau dalam erti kata lain mengkhianati anak sendiri. Tak masuk akal !

Begini kisahnya…
Mengajar anak-anak kecil seawal usia 2 tahun merupakan antara ‘passion’ saya. Sebagai seorang guru setiap apa yang diajar di dalam kelas adalah hasil daripada kajian dan pembacaan yang teliti sebelum dipraktikkan bersama mereka.

Namun, cabaran yang besar yang kebanyakkan guru-guru pendidikan awal kanak-kanak ini hadapi ialah daripada penerimaan ibubapa anak itu sendiri terhadap pembelajaran di dalam kelas dalam sesi menajamkan kemahiran motor anak-anak mereka.

Senarionya ialah…
” Teacher Ayu, anak saya tidak pandai pegang gunting ini dan saya tidak pernah berikan dia pun dirumah sebab bahaya ”
” Anak saya geli untuk memegang gam dan warna air itu, bolehkah saya tukar dengan crayon sahaja, Teacher ? ”

Itulah antara contoh-contohnya yang terjadi apabila ibubapa meletakkan ‘over protection’ terhadap si manja mereka dengan mengiyakan setiap penolakkan anak.
Sedangkan itu juga salah satu cara anak dalam memanipulasi kita untuk terlepas melakukan hal-hal yang mereka tidak suka. yang saya katakan, kita umpama mensabotaj anak-anak kita dalam diam.
Setiap penolakkan itu memerlukan masa untuk memberi gambaran aktiviti itu menyeronokkan buat anak-anak ini. Setiap  proses menanganinya atau ‘counter-back’ perlu dilakukan berulang kali sehingga mereka berada di tahap selesa kembali.

Anak-anak kecil pada tahap ini belajar melalui pemerhatian dan perulangan. Dan setiap satunya itu perlu dipamerkan dengan seronok sekali bagi menarik minat mereka ke dalam zon belajar. Apabila sudah dilakukan secara kerap barulah kemahiran otot mereka terbentuk. Benar kata pepatah inggeris ini, “Repetition is the mother of skills”.

Pilihan ditangan Ibubapa 

Pepatah ada mengatakan, ” jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya “. Begitulah persamaan bagi senario di atas. Saya faham dan tidak menyalahkan ibubapa dalam hal yang kita terlepas pandang ini kerana besarnya rasa kasih dan sayang terhadap anak yang dikandung itu. Susah payah melahirkan mereka takkan dibiar apa-apa pun mencederakan mereka.

Namun bagi sudut kami barisan guru-guru pendidikan awal kanak-kanak, perbuatan tersebut bakal melumpuhkan sesetengah deria rangsangan mereka seperti deria sentuhan.
Deria ini secara fitrahnya semuanya mempunyai kapasiti yang sama setiap anak hanya penajaman dan konsentrasi yang berlainan terhasil jika diberi rangsangan yang cukup sejak kecil.
Almaklumlah anak-anak moden yang dilahirkan sekarang semuanya telah tersedia ada. Kadangkala untuk menyuruh mereka menyapu lantai sekalipun diperhatikan amat kekok sekali. Itulah sebahagian kekurangan rangsangan motor halus  dan kasar dalam diri mereka.

Sejak usia berapa perlu ditekankan kemahiran ini ?
Di sekolah kebangsaan dan menengah mahupun universiti apa yang di ajar hanya bermatlamatkan untuk mempunyai keputusan yang cemerlang sebagai tiket ke alam pekerjaan yang cemerlang.
Tetapi, kemahiran motor halus dan kasar ini atau dalam istilah lainnya disebut kemahiran kognitif adalah merupakan kemahiran seumur hidup buat anak-anak.

Cuba perhatikan kerja asas di rumah yang kita lakukan semuanya kita timba hasil didikan ibu kita sendiri dari rumah. Hari ini, tugasan tersebut diserahkan kepada pembantu rumah, langsung tanpa penglibatan anak-anak. Sedangkan hakikatnya, anak-anak sangat suka melakukan kerja-kerja praktikal ini di rumah.
Bila kita ke dapur, mereka akan datang seolah-olah untuk menolong memasak bersama. Kita akan lihat pelbagai bahan diletakkan di dalam ‘kuali’ mereka umpama ibu yang sedang memasak. Jangan tidak tahu, disitulah imaginasi dan kreativiti mereka mula subur berkembang. Jangan hentikan !

Melatih kemahiran hidup anak

Pesan saya, bagi memastikan anak-anak kita juga menjadi hebat seperti kita hari ini, pastikan apa yang kita perolehi masa dahulu turut dirasai buat anak-anak kita pada masa kini.
Post a Comment