Friday, May 10, 2013

Sakit Puan

Tubuh wanita sentiasa mengalami perubahan sejak dari kanak-kanak sehingga akil baligh kerana mereka akan melalui proses-proses seperti mengandung, bersalin sehinggalah putus haid. Terdapat banyak soalan berkaitan sakit puan, kesuburan dan kesihatan seksual. 

Oleh itu, penting bagi seorang wanita untuk mendapatkan khidmat nasihat dari seorang doktor pakar sakit puan seawal yang mungkin. Wanita yang pernah mengamalkan hubungan seks dan mereka yang mempunyai masalah sakit puan dicadangkan menjalankan pemeriksaan sekurang-kurangnya  sekali setahun. Kebanyakan masalah sekit puan yang dikenalpasti diperingkat awal boleh dirawat dan hasilnya amat memberansangkan.

Tujuan pemeriksaan awal adalah untuk mengesan penyakit sebelum merebak. Ini kerana, setelah merebak proses rawatan menjadi semakin rumit. Pemeriksaan tahunan sakit puan termasuk:

1.
Tekanan darah
2.
Pemeriksaan payudara
3.
Imbasan ultrabunyi bagi ovari, uterus dan pelvis
4.
Ujian papanikalaou (pap smear0
5.
Ujian air kencing untuk mengesan jangkitan diabetes
6.
Lain-lain ujian darah termasuk penanda kanser CA-125 (sejenis penanda kanser yang mempunyai kepekatan yang lebih tinggi dalam tubuh yang mengandungi sel kanser)
 
 
Masalah sakit puan yang biasa dijumpai:
1. Endometriosis
 
Ianya bukan kanser. Ia terjadi apabila selaput endometrium berada di luar uterus seperti di ovari,tiub fallopio,pundi kencing dan usus besar. Ianya menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan semasa datang haid. Endometriosis adalah punca utama ketidaksuburan.
   
2. Fibroid
 
Fibroid adalah ketumbuhan biasa (bukan kanser) di dalam uterus dan ianya dibina oleh gentian otot. Punca berlakunya fibroid biasanya dikaitkan dengan kombinasi beberapa faktor termasuk genetik, hormon, dan faktor persekitaran. Ia menyerang 20% wanita berusia 50 tahun ke bawah (wanita di peringkat kesuburan) dan ianya merupakan penyebab utama wanita perlu menjalani histerektomi (prosedur untuk membuang rahim). Fibroid dikategorikan berdasarkan lokasinya seperti di bawah;
  1. Fibroid submukus- membesar dari bahagian bawah saluran rahim ke ruangan dalam rahim.
  2. Fibroid intramural- tumbuh di antara otot-otot rahim pada bahagian dindingnya.
  3. Fibrois subserous- tumbuh di bahagian luar dinding rahim
  4. Fibroid pedunculated- tumbuh secara berangkai dari permukaan bahagian rahim atau permukaan bahagian dalam rahim hingga dalam rahim dan boleh merebak ke serviks.
Tanda-tanda fibroid adalah seperti berikut:
  1. Aliran haid yang banyak disebabkan luas pemukaan yang besar, pertambahan saluran darah dan kelemahan sistem pembekuan darah.
  2. Ketidakselesaan di bahagian pelvik adalah disebabkan tekanan terhadap uterus disebabkan oleh fibroid yang sedang membesar.
  3. Berasa senak di bahagian bawah abdomen atau kadang kala dipanggil tekanan pelvik.
  4. Sakit di bahagian bawah belakang disebabkan oleh tekanan di bahagian belakang yang disebabkan oleh fibroid.
  5. Kerap keguguran disebabkan kesukaran embrio untuk menempel dan pengecutan uterus.
  6. Bersalin lebih awal dari jangkaan kerana fibroid menolak kandungan ke bawah.
  7. Kerap membuang air kecil kerana fibroid menekan pundi kencing.
  8. Sakit ketika melakukan hubungan seks..
Rawatan bagi fibroid bergantung kepada tanda yang dialami, umur, saiz keluarga, saiz dan bilangan fibroid yang anda ada dan keinginan untuk mengandung pada masa akan datang. Pilihan rawatan termasuk;
  1. Sekiranya fibroid bersaiz kecil dan tidak menunjukkan sebarang tanda, pemantauan kerap dilakukan melalui imbasan ultrabunyi..
  2. Sekiranya saiz fibroid melebihi 5 cm pembedahan untuk membuang fibroid (myomectomi) mungkin diperlukan. Sekiranya anda telah mempunyai anak, pembuangan uterus dan fibroid (hysterectomy) lebih digalakkan.
  3. Fibroid juga boleh dikecutkan tanpa menjalani pembedahan melalui pengurangan aliran darah kepada fibroid dengan menggunakan kaedah embolisasi. Fibroid mungkin akan berulang lagi.
 
   
3. Kanser payudara
 
Kanser payudara adalah kanser yang paling kerap dijumpai dikalangan wanita di seluruh dunia. Di Malaysia kanser payudara menyerang semua kaum seawal usia 20 tahun (Laporan Jabatan Rekod Kebangsaan 2003) .
   
4. Kanser sakit puan
 
(a) Kanser serviks; Ianya tidak terjadi secara mendadak; sel serviks yang normal perlahan-lahan berubah menjadi separa kanser dan akhirnya menjadi kanser. Perubahan sel separa kanser dan peringkat awal kanser serviks boleh dikesan melalui pap smear. Kanser serviks merupakan kanser kedua paling banyak menyerang wanita di Malaysia (Laporan Jabatan Rekod Kebangsaan 2003) 

(b) Kanser uterus; Juga dikenali sebagai kanser rahim, biasanya terjadi selepas putus haid. Antara tanda-tanda kanser uterus adalah pendarahan vagina atau pendarahan selepas putus haid. Prosedur  (D&C) perlu dijalankan untuk menyokong diagnosis.

(c) Kanser ovari; Biasanya menyerang wanita 50 tahun ke atas. Imbasan ultrabunyi boleh membantu untuk mengesan pada peringkat awal.
   
5. Sista ovari
 
Ianya adalah sejenis kantung mengandungi cecair terletak di ovari. Biasanya ia akan hilang dengan sendiri selepas beberapa minggu atau bulan. Walaubagaimanapun, sekiranya ia semakin membesar melebihi 4 cm, ada kemungkinan ia akan pecah dan berdarah atau mungkin boleh membelit ovari menyebabkan kesakitan yang teruk. Pembedahan perlu dijalankan bagi kes sista yang pecah, terbelit, berukuran lebih dari 5 cm dan kelihatan mencurigakan dalam imbasan ultrabunyi.
   
6. Polip
 
Polip adalah sejenis tisu yang terbentuk akibat pertumbuhan selaput uterus atau serviks yang terlalu pesat. Ianya kadang-kadang berhaya (kanser) dan kadang-kadang tidak. D&C (dilation and curettage) dilakukan untuk untuk membuang tisu polip dan seterusnya tisu tersebut akan dianalisis untuk menentukan sama ada ianya adalah kanser atau bukan.
   
7. Penyakit bawaan seks (STD)
 
STD adalah penyakit yang boleh dipindahkan melalui persentuhan tubuh badan semasa hubungan seksual. Ianya boleh dipindahkan kepada pasangan dan sesetengah STD juga dipindahkan dari ibu kepada anak dalam kandungan. STD  adalah disebabkan oleh virus, bakteria dan parasit. Sekurang-kurangnya terdapat 25 mikroorganisma yang boleh menyebabkan STD. Chlamydia, Herpes, HIV dan Gonorrhea adalah antara mikroorganisma yang kerap menyebabkan STD. Kebanyakan STD  boleh memberikan kesan jangkamasa panjang dan ada juga yang kekal termasuk ketidaksuburan sekiranya tidak dirawat.

STD selalunya berulang kerana pasangan lelaki biasanya tidak menunjukkan tanda maka mereka tidak dirawat.  Mereka berpotensi akan menjangkitkan kembali pasangan wanita yang telah   dirawat dan ianya akan berulang. Antara tanda-tanda STDs adalah sakit di bahagian bawah abdomen, cecair vagina yang berbau, berwarna dan menyebabkan gatal. Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda ini sila berjumpa doktor dengan segera atau ia akan menyebabkan tiub fallopio anda tersumbat dan boleh membawa kepada masalah ketidaksuburan.

sumber boleh dipercayai ini di COPY PASTE dari :  
Post a Comment